Sejarah


Keindahan semulajadi Sungai Palong.

Terletak di sudut utara negeri Johor yang bersempadan dengan Negeri Sembilan dan Pahang, Kg.Mensudut Lama merupakan sebuah kampung Melayu Tradisional yang mempunyai pelbagai keunikan tersendiri. Nama "Mensudut Lama" diberi bersempena dengan kedudukannya yang berada di sudut paling Utara Negeri Johor dan perjalanan untuk sampai ke pedalaman ini mengambil masa yang agak lama (pada masa dahulu).
Kg.Mensudut Lama dibentuk daripada gabungan rangkaian kampung-kampung tradisional melayu yang terdapat di sepanjang laluan Sungai Palong. Pada tahun 1968, rangkaian kampung-kampung tradisional ini telah digabungkan di bawah satu nama iaitu "KAMPUNG MENSUDUT LAMA".

Kawasan di sepanjang laluan Sungai Palong yang subur ini kemudiannya diteroka dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk kampung dengan mengusahakan kegiatan pertanian dan penternakan. Sebahagian besarnya dipenuhi oleh tanaman Kelapa Sawit dan Getah yang menjadi punca pendapatan utama masyarakat di sini. Terdapat juga dusun buah-buahan dan kebun sayur yang diusahakan penduduk sebagai sumber pendapatan tambahan. Penternakan lembu dan kambing dijalankan secara kecil-kecilan didalam kebun kelapa sawit sebagai kegiatan sampingan.

Sungai Palong yang kaya dengan khazanah semulajadi sungai Air Tawar turut memberi manfaat kepada keluarga Nelayan Tradisional yang menjalankan aktiviti menangkap ikan sebagai punca rezeki. Antara spesis ikan yang banyak terdapat di sini ialah Toman,Baung,Sebarau,Lampam dan juga Udang Galah.

Sungai Palong mempunyai pengaruh yang besar keatas kehidupan masyarakat di sini. Satu ketika dahulu sungai ini adalah nadi kehidupan penduduk Kg.Mensudut Lama. Peranan Khazanah Pusaka Alam yang tidak ternilai ini telah banyak berubah oleh peredaran masa. Yang pastinya Sungai Palong tetap mengalir megah dan menjadi sebahagian daripada keunikan tanah bertuah KAMPUNG MENSUDUT LAMA.